Monday, March 29, 2010

Tips Temuduga Kerja

Persiapan awal: Kajian
Sebaik mendapat surat temuduga, buat sedikit persiapan sebelum tiba tarikh temuduga.

Kaji latar belakang organisasi yang menawarkan temuduga jawatan kosong kepada anda. Apakah urusan utama organisasi tersebut, berapa lama ditubuhkan, saiz organisasi, kaitan organisasi dengan anda, dan sebagainya.

Buat kajian terperinci tentang jawatan yang ditawarkan. Kenapa jawatan itu diwujudkan, peranan utama jawatan, pengetahuan yang perlu ada untuk mengisi jawatan tersebut, dan mengapa anda rasa anda diperlukan untuk mengisi jawatan tersebut.

Kalau dapat, lihat berapa banyak kerusi yang ditawarkan untuk jawatan tersebut, serta berapa ramai calon yang dipanggil untuk temuduga jawatan tersebut.

Kaji juga sejauh mana anda sendiri memerlukan jawatan mahu pun organisasi tersebut. Sejauh mana ia bersesuaian dengan kelulusan anda, dan sejauh mana kelulusan anda bersesuaian dengan jawatan tersebut.

Sekiranya anda berasa selesa setelah menjalani kajian-kajian di atas, besarlah harapan anda untuk berjaya dalam temuduga itu nanti.

Sebaliknya jika anda rasa kurang selesa, cuba cari tawaran lain dan lupakan temuduga tersebut, melainkan anda memang terdesak untuk meneruskan kehidupan anda sehari hari.

No comments:

Post a Comment